Masjid Besi

masjid-besi-2.jpgmasjidbesi.jpg

Bangunan guna enam ribu tan keluli dan material telus cahaya jadi mercu tanda baru di Putrajaya

BERKONSEPKAN seni bina moden kontemporari, berlatarkan Tasik Putrajaya dengan keindahan alam yang kekal tidak bersentuh di Presint 3, di situlah letaknya binaan sebuah bangunan berkerangka keluli atau digelar Masjid Besi, Putrajaya.

Indahnya binaan dari keluli itu mungkin masih belum dapat dilihat dengan mata kasar namun keunikan masjid yang keseluruhannya berkeluasan 73,795 meter persegi itu amat istimewa. Malah, Masjid Besi ini dikatakan bakal menjadi sebuah mercu tanda baru pusat pentadbiran negara dan kebanggaan komuniti Islam di Putrajaya.

Pembinaan masjid dengan kos RM180 juta itu bermula April 2004 dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun depan. Dengan keluasannya yang sekali ganda lebih luas berbanding Masjid Putra, Putrajaya ia dijangka mampu menampung 20,000 jemaah pada satu-satu masa.

Pengarah Jabatan Pembangunan Bandar Perbadanan Putrajaya, Ir Mohd Ridzwan K Othman, berkata cetusan idea untuk membina sebuah masjid baru di Putrajaya wujud sekian lama dulu. Malah, dalam Pelan Induk Putrajaya yang diluluskan kerajaan, ada diperuntukkan dua kawasan untuk dibina masjid di Putrajaya.

“Hasrat perbadanan adalah menyediakan tempat beribadat yang selesa bagi umat Islam sekali gus menampung keperluan kakitangan kerajaan dan juga penduduk setempat iaitu dari sekitar pusat bandar atau core island di Presint 2, Presint 3, Presint 4 dan Presint 18.

“Anggaran kasar, sejumlah kira-kira 23,633 kakitangan akan dijanakan apabila keseluruhan parcel Pejabat Kerajaan dibangunkan kelak. Manakala seramai 28,420 penduduk juga akan mendiami kawasan sekitar apabila kesemua projek pembangunan perumahan siap dibina,” katanya.

Berdasarkan kapasiti jemaah yang ditentukan di dalam Pelan Induk Putrajaya iaitu 20,000 jemaah, pihak perbadanan meminta arkitek bertanggungjawab iaitu Kumpulan Senireka Sdn Bhd mereka bentuk sebuah masjid berkonsep berangin (airy), sederhana (light) dan telus (transparent).

Mohd Ridzwan berkata, selepas beberapa siri perbincangan, didapati binaan dari struktur keluli dapat memenuhi konsep reka bentuk diinginkan iaitu bangunan yang tidak kelihatan terlalu besar.

Lalu terhasillah sebuah masjid dengan penggunaan 6 ribu tan keluli bersamaan 70 peratus dari keseluruhan binaan manakala selebihnya adalah konkrit.

Bagaimanapun, keluli hanya menjadi kerangka masjid kerana ia akan dikemaskan dengan material telus cahaya pada setiap tiang dan dinding menggunakan crystalized glass menjadikan masjid kelihatan berwarna putih dari jauh. Apabila malam, cahaya lampu akan menambah keindahan Masjid Besi yang boleh dilihat dari jambatan Seri Saujana.

Ciri istimewa lain masjid yang menggabungkan teknologi moden dari Jerman dan China ini ialah setiap panel dinding luar masjid dipanggil Masyrabiah diperbuat daripada anyaman besi tahan karat atau Architectual Wire Mesh yang mempunyai ciri unik iaitu telus cahaya dan angin membuatkan pengunjung selesa dengan hembusan angin segar.

Malah, di sini juga tiada dipasang walau sebuah kipas. Tapi, bagi menjamin keselesaan pengunjung, pihak perbadanan menggunakan sistem pengudaraan udara sejuk atau gas district cooling (GDC) di dalam bangunan masjid bagi menggantikan sistem penghawa dingin.

Anyaman Masyrabiah di Masjid Besi diimport khas dari Jerman dan menjadikan ia satu-satunya bangunan dengan anyaman besi tahan karat yang wujud di negara ini. Kemudian ia dilitupi pula panel bercorak geometri pada bahagian luar, juga dari jenis besi tahan karat.
Mohd Ridzwan berkata, rujukan yang digunakan untuk menggunakan dinding Masyrabiah adalah stadium terkenal milik pasukan Real Madrid iaitu Stadium Bernabeu, perpustakaan negara di Paris yang menggunakan dinding berkonsep sama untuk ruang meletak buku setinggi 20 tingkat dan ruang letak kereta di Barcelona.

Apabila pembinaan Masjid Besi siap nanti, pengunjung yang ingin beribadat atau sekadar berkunjung ke masjid ini bakal disambut dengan seni kaligrafi yang terukir di hampir setiap ruang masjid.

Perjalanan menuju ke masjid melalui sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid dipanggil Kiblat Walk seluas 13,639 meter persegi. Kawasan yang menghadap kiblat ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Al Hambra.

Begitu juga di sekeliling Masjid Biru, ia seolah-olah sebuah pulau dengan dikelilingi binaan konkrit kolam bertingkat. Ia kelihatan seperti mini air terjun yang melimpah ke dalam takungan kolam kedua menjadikan kawasan ini tempat yang sesuai untuk beristirehat sambil menunggu azan berkumandang.

Disambut binaan pintu gerbang konkrit yang dibina menggunakan glass reinforce concrete (GRC), pengunjung akan melalui Iwan Utama menuju ke laman atau Sahn dalam bahasa Arab. Indahnya binaan konkrit putih itu, ia dilatari ukiran Asma Ul Husna yang terkandung 99 nama Allah SWT menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth.

Pintu utama menuju ke ruang solat utama, terukir ayat suci al-Quran dari surah Al-Israa’ ayat 80.

Menjengah ke ruang solat, mata pasti terpaku melihat dinding Mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 meter juga diimport khas dari Jerman. Pada cermin itu terukir kerja tangan tempatan iaitu dua baris ayat dari surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan surah Ibrahim di sebelah kiri.

Uniknya cermin itu, ia tidak memantul kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Dinding Mihrab inilah yang akan menjadi fokus utama ruang solat Masjid Besi Putrajaya itu.

“Masjid yang kini 75 peratus siap dan masih belum mempunyai sebarang nama mempunyai hanya satu kubah diperbuat daripada keluli.

“Selain itu, ia juga akan dilengkapi sistem audio visual terbaik bagi memastikan tiada sebarang masalah seperti pantulan bunyi berlaku ketika azan atau ceramah agama dibuat,” katanya.

Mohd Ridzwan yang ditemani Timbalan Pengarah Pembangunan Kemudahan Awam, Jabatan Pembangunan Awam Perbadanan Putrajaya, Norhayati Abdullah, pada pertemuan itu berharap umat Islam di negara menggunakan kemudahan itu yang menjadi ikon pada Putrajaya. Walaupun menjadi tumpuan diplomat dan pelancong dari seluruh dunia, umat Islam di negara ini wajar mengimarahkan masjid dan tidak membiarkan ia kosong serta terbiar.

FAKTA: Kemudahan disediakan

  • Ruang solat (dewan utama, ruang terbuka dan dewan solat muslimat)
  • Tiga unit kuaters dua tingkat tiga bilik untuk kakitangan masjid
  • 10 unit bazar atau ruang niaga di dalam kawasan masjid
  • Bilik pameran mampu memuatkan 250 orang
  • Dapur
  • Bilik VIP
  • Bilik penyelenggaraan
  • Bilik jenazah
  • Pejabat
  • Bilik kawalan audio visual
  • Ruang letak kereta (bawah tanah)

    Kiblat Walk – Ruang kolam umpama istana Al Hambra yang menghadap kiblat

    Iwan Utama – Laluan gerbang utama menuju Sahn yang terukir Asma Ul Husna

    Sahn – Kawasan laman menempatkan ruang solat terbuka dan padang

    Dinding Mihrab – Kawasan ruang solat utama, ditempatkan cermin kaca dengan ukiran ayat Al Baqarah dan Ibrahim. Kelihatan seolah terapung di udara

    FAKTA NOMBOR: Masjid Besi, Putrajaya

  • RM180 juta – Kos pembinaan
  • 60,156 – Meter perseti, luas masjid
  • 20,000 – Kapasiti jemaah.
  • Advertisements

    Bahau kaya sejarah, alam semula jadi

    mainpix2serting.jpg

    Keindahan Hutan Lipur Serting Ulu, Hutan Lipur De Bana masih belum tercemar

    HUTAN Lipur Serting Ulu, adalah satu daripada pelbagai tempat menarik di daerah Jempol, Negeri Sembilan yang wajar dilawati. Ia terletak di bahagian Utara kira-kira 20 kilometer dari Bahau dan kawasan ini mula dimajukan pada 1986.

    Jalan masuk ke hutan lipur ini agak sempit dan hanya sebuah kereta boleh melaluinya. Keadaan ini menguji kesabaran pemandu kerana sebuah kereta perlu berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan untuk melepasinya dalam satu masa.

    Bagaimanapun, yang pasti perjalanan ke kawasan itu menawarkan keindahan alam semula jadi dan suasana kehidupan kampung yang penuh harmoni. Kebanyakan rumah di sini dibina berasaskan seni bina Minangkabau. Pengunjung boleh melihat keistimewaan seni bina rumah berkenaan di Teratak Za’ba atau Zainal Abidin Ahmad.

    Pengunjung boleh melihat pelbagai senario yang jarang ditemui di tempat lain seperti sekumpulan kerbau yang sedang bermain lumpur, kanak-kanak berlarian, suri rumah yang menyapu di halaman rumah dan sebagainya.

    Selepas menempuhi perjalanan lebih kurang dua kilometer, pengunjung dapat melihat kawasan hutan yang dijaga dengan rapi. Keriuhan suara kanak-kanak bermain dan bunyi aliran air sungai beriringan menyambut kedatangan pengunjung, menggantikan kebingitan dan kesibukan kota.

    Ada sebuah chalet bagi memenuhi kehendak pengunjung yang ingin bermalam di kawasan ini. Chalet yang dibina itu tidak mengganggu ekologi dan merosakkan keindahan alam semula jadi serta habitat.

    Sebuah blok bangunan yang mempunyai empat kedai disediakan untuk menjual makanan dan minuman sebagai satu cara memudahkan pengunjung untuk mendapatkan bekalan air dan makanan yang diperlukan. Suasana sekeliling yang indah, damai dan tenang pasti membuatkan pengunjung tidak sabar-sabar menikmati suasana di kawasan itu dan melakukan aktiviti masing-masing.

    Ketika masuk ke hutan, pengunjung pasti terkejut kerana kawasan sekitarnya terlalu bersih, tanpa sampah-sarap seperti di kebanyakan kawasan rekreasi lain. Satu lagi perkara menarik yang pengunjung boleh lihat ialah papan tanda yang melarang pengunjung membawa makanan yang tidak halal ke kawasan ini.

    Waktu pagi adalah yang paling indah. Pengunjung dapat menghirup kesegaran udaranya. Untuk memasuki kawasan ini, pengunjung perlu mendaki bukit sekali gus menghirup kesegaran dan kenyamanan udara di tempat ini. Yang pasti, di sinilah tempat paling sesuai merehatkan diri dan fikiran.

    Perkara yang pertama sebaik sampai di sini ialah merendamkan kaki di dalam air sungai yang sedang mengalir. Urutan batu-batu kecil dan kesejukan air yang mengalir pastinya dapat menghilangkan kepenatan sepanjang memandu sebelum tiba ke tempat ini. Ada sebuah jambatan gantung yang dibina untuk menghubungkan dua bukit di sini.

    Tempat ini juga mempunyai nilai sejarah yang tidak boleh diketepikan kerana kawasan ini pernah menjadi medan pertempuran antara pihak komunis dan Jepun.

    Untuk pengetahuan anda, di belakang papan tanda Hutan Lipur Serting Ulu, ada sebuah lubang kesan daripada pengeboman askar Jepun ke atas kubu komunis berpuluh tahun lalu. Selain itu, ada sebuah terowong yang juga menjadi laluan rahsia pihak komunis untuk melarikan diri.

    Kajian pihak perhutanan mendapati terowong terbabit berakhir di Jeram Tengkek, Pasir Besar. Malah, beberapa perkakasan memasak seperti periuk dan pinggan serta barang lain seperti lampu, meja, mesin jahit ditemui di dalam terowong ini. Namun, pengunjung perlu mendaki beberapa buah bukit dan gunung untuk ke terowong ini.

    Bagi penggemar sukan lasak, Hutan Rekreasi Serting Ulu menawarkan tempat untuk berkhemah atau menjalankan aktiviti mendaki. Pengunjung boleh meneroka terowong ini jika benar-benar inginkan cabaran.

    Pengunjung juga boleh mengambil kesempatan mandi manda di Air Terjun De Bana yang kedudukannya hanya beberapa kilometer dari Hutan Lipur Serting Ulu. Air Terjun De Bana amat cantik dan kaya dengan keindahan alam semula jadi. Kawasan ini kaya dengan pelbagai spesies flora seperti orkid liar, Eorycoma Longifolia (Tongkat Ali) dan Kacip Fatimah. Kawasan ini sesuai untuk aktiviti lasak seperti Junggle Tracking.

    Pendita Za’ba menjadi kebanggaan penduduk daerah Jempol kerana mengingatkan orang ramai bahawa Jempol pernah melahirkan seorang tokoh ilmuan yang berjaya dan disanjung tinggi. Beliau menjadi sumber inspirasi anak muda Jempol untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

    Teratak Za’ba dibina di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, tempat kelahirannya. Di sini menempatkan segala buku hasil penulisan beliau, gambar kenangan serta barang peninggalan beliau.

    Bagi mereka yang ingin mengenali tokoh ilmuan termahsyur ini, Teratak Za’ba boleh menceritakan segala-galanya.

    Sungai Lui, satu lagi destinasi yang mungkin kurang dikenali namun menyimpan satu sejarah pahit yang cukup menarik untuk diketahui. Sungai Lui terletak berhampiran dengan sempadan Pahang kira-kira 25 kilometer ke utara Bandar Bahau. Di sini dibina sebuah tugu peringatan mangsa yang terkorban pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Tugu Peringatan Sungai Lui ini dibina atas inisiatif saudara mara mangsa. Seramai 382 mangsa terkorban dalam sejarah pahit itu.

    Bagaimana ke sana?

    Kedudukan Bahau kira-kira 250 kilometer dari Kuala Lumpur. Sekiranya anda menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, anda boleh masuk menerusi Plaza Tol Senawang dan terus ke Bukit Putus untuk ke Kuala Pilah. Selepas ke Kuala Pilah, anda perlu ke arah Juasseh sebelum tiba di Bahau.

    FAKTA:

  • Bahau adalah bandar paling hampir dengan Hutan Lipur Serting Hulu, yang terletak di daerah Jempol, Negeri Sembilan.
  • Nama Bahau diambil daripada perkataan Mandarin yang bermaksud ‘mulut kuda’ ketika kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu ketika penjajahan British.
  • Lokasi Bahau yang strategik menjadi faktor utama yang memudahkan perjalanan dari bandar ini ke pelbagai bahagian di serata pelusuk negara ini.
  • Pada lewat 60an dan 70an, Bahau membangun dengan kegiatan pembalakan dan pertanian.
  • Pada 70an, bahau dikenali sebagai ‘Bandar Kecil Emas’.
  • Pada pertengahan 80an perkembangan ekonomi Bahau berubah dan menurun hinggalah pada tahun 90an keadaan menjadi bertambah teruk.
  • Pada akhir tahun, bandar ini dibanjiri sekumpulan burung layang-layang yang bermigrasi dari hemisfera utara.
  • Salam

    Cuba menulis tentang jejak perjalanan yang ditempuhi. Mungkin di suatu hari nanti ada kisah yang seronok dan menarik untuk ditulis di sini. Nantikanlah ya…

    Jejak Perjalanan

    Menempuhi daerah baru. Catatan pengalaman dan pandangan tentang tempat-tempat yang dikunjungi.